Bangunan bersejarah destinasi pengunjung
RAMAI yang menggeleng kepala apabila diajukan soalan bagaimana menghabiskan percutian di Johor Bahru. Hakikatnya, bandar raya paling selatan ini menjanjikan seribu satu tarikan yang jarang diterokai.
Kesempatan mengikuti rombongan media anjuran majalah pelancongan, Gaya Travel Nusantara (GTN), baru-baru ini, membuka mata penulis mengenai keunikan negeri paling selatan ini.
Berbanding negeri lain, kebanyakan lokasi menarik terletak dalam lingkungan kurang sejam perjalanan dari ibu negeri Johor itu.
Untuk mereka yang kali pertama ke sini, mulakan kembara di tengah kota dengan mengunjungi Istana Besar dan Muzium Diraja Sultan Abu Bakar.
Bangunan berdepan dengan perairan ini pernah menjadi tempat bersemayam Sultan Johor sebelum pembinaan Istana Bukit Serene.
Ia menempatkan muzium yang menyimpan sejarah perjuangan orang Melayu menentang kuasa penjajah.
Asalnya, istana yang dibina pada 1866 ini beberapa kali diubah suai. Pelbagai koleksi diraja termasuk perabot berukir buatan Perancis dan kerusi makan kristal hasil dari Jepun.
Selain itu, pengunjung pasti tertarik dengan lukisan cat minyak Sultan dengan motosikal kegemaran baginda, artifak dan haiwan awet hasil buruan sultan terdahulu.
Walaupun bertukar fungsi bagi memenuhi peredaran masa, ia masih digunakan untuk beberapa upacara rasmi.
Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan adalah antara pejabat kerajaan tercantik yang pernah dibina di negara ini. Keunikannya terletak pada seni bina era kosmopolitan dan gaya Renaissance, dengan sentuhan pengaruh Anglo-Melayu.
Bangunan ini yang siap sepenuhnya pada 1942 ini membuktikan Johor antara negeri terawal yang meniru model pentadbiran British.
Masjid Sultan Abu Bakar yang siap sepenuhnya pada 1900 menjadi satu lagi destinasi mesti kunjung apabila bersiar-siar di Johor Bahru. Seni bina `“Moorish” dan pengaruh Victoria yang kuat memberi gaya klasik kepada bangunan ini.
Makam Diraja di Jalan Mahmodiah berdekatan Kampung Mahmodiah dan Hyatt Regency Johor Bahru pula menjadi tanah perkuburan untuk keluarga diraja Johor.
Dari jauh, kelihatan seni bina makam ini yang unik dengan persekitaran yang aman dan tenang. Tidak keterlaluan dikatakan, ia antara kawasan makam tercantik yang sentiasa dipulihara dengan baik.
Tarikan semula jadi
Jika bangunan bersejarah tidak menarik minat, Zoo Johor yang bertentangan dengan Masjid Sultan Abu Bakar ini amat popular di kalangan pengunjung dari seberang tambak Johor.
Manakala untuk mereka yang gemarkan kehijauan, boleh berkunjung ke Air Terjun Kota Tinggi yang sudah lama mendapat reputasi sebagai destinasi berlibur hujung minggu di kalangan warga tempatan.
Air yang mengalir dari ketinggian 34 meter ini mengalir dari mata air di Gunung Panti. Berikutan popularitinya, ada kemudahan penginapan bajet bagi memenuhi kebanjiran pengunjung terutama pada hujung minggu.
Tarikan lain
>Muzium Nanas, kilometer 52, Jalan Pontian
Pengunjung berpeluang melihat lebih dekat cara penanaman dan mencuba sendiri hasil produk keluaran tempatan. Ada lebih 18 jenis nanas boleh dilihat termasuk nanas madu dan nanas bunga IPRS.
>Muzium Bugis, Pontian
Muzium mempamerkan lebih 1,500 koleksi dan artifak lama Bugis. Muzium di laluan utama Kukup ini mempamerkan jenis mata wang lama, setem tembikar, botol dan pakaian berusia lebih 100 tahun.
Selain melihat koleksi pakaian dan artifak, pengunjung ke muzium yang berusia 24 tahun berkenaan dapat melihat keajaiban kelewang Bugis yang
boleh berdiri dengan sendirinya tanpa dipegang.
>Taman Negara Tanjung Piai
Diiktiraf sebagai titik paling selatan Asia, ia juga menjadi destinasi ideal untuk mereka yang kaki pancing di kelong berdekatan. Pengunjung boleh memilih untuk tinggal di beberapa hotel bajet di sini.
Mesti cuba di sini adalah makanan laut yang dijual dengan harga jauh lebih murah. Selain itu, penginapan homestay dengan aktiviti seperti mengunjungi ladang ternakan lebah boleh diaturkan.
Makan-makan
Ketua Pengarang GTN, Juhan Kamarudin menyarankan pengunjung yang kali pertama ke sini mencuba mi rebus tulang di ZZ Cafe, Jalan Mariamah.
Sedap Corner berhampiran Hyatt Regency dan Hospital Sultanah Aminah popular untuk masakan Melayu. Warung Saga pula menempatkan pelbagai imej berkaitan sejarah Johor.
Untuk makan malam, anda boleh mencuba hidangan dalam suasana desa di Anjung Warisan, Jalan Pitrie. Kawasan sekitar Danga Bay juga menyediakan pelbagai pilihan restoran.
Beberapa gerai `stimbot’ yang murah dan sedap boleh didapati di parkir berhampiran Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Untuk penggemar makanan laut, pandu menghala ke Permas Jaya untuk ke Senibong. Atau menghala ke deretan gerai dengan pelbagai pilihan menu di Stulang Laut yang dibuka hingga awal pagi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
.jpg)
No comments:
Post a Comment