Alif laam raa, (inilah) suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci, yang diturunkan dari sisi (Allah) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Tahu,
agar kamu tidak menyembah selain Allah. Sesungguhnya aku (Muhammad) adalah pemberi peringatan dan pembawa khabar gembira kepadamu daripada-Nya,
dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. (Jika kamu mengerjakan yang demikian), niscaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa siksa hari kiamat. (Huud: 1 ~3)
Manusia tidak mengetahui maksud Alif lam raa yang dimulakan pada surah ini. Hanya Allah Maha Mengetahui. Namun kita boleh nampak Kebijaksanaan Allah dalam mengatur sesuatu. Otak manusia akan terangsang bila melihat atau mendengar sesuatu kepelikan. Jadi, memulakan sesuatu surah dengan ayat yang pelik, akan membuatkan manusia tertanya-tanya. Seterusnya menarik manusia itu berfikir ayat-ayat seterusnya. Begitu psikologi yang digunakan oleh Allah agar manusia mula berfikir. Semakin selalu manusia itu hidup dengan berfikir, semakin dekat dia kepada Allah.
Islam sebenarnya adalah agama yang mengajak manusia tunduk dan berserah diri kepada Allah. Erti tunduk ini adalah kita meluangkan masa untuk berfikir mengenal tanda-tanda KekuasaanNya. Selagi kita tidak merasai KekuasaanNya dalam setiap gerak geri kehidupan kita, selagi itulah kita akan hidup dengan keadaan malas berfikir. Kita anggap selama ini dengan melaksanakan rukun-rukun Islam, kita sudah pun Islam, walhal kita hidup dengan malas berfikir sehingga tidak kenal KekuasaanNya. Akibat malas berfikir, umat Islam sekarang menjadi lemah dan mudah ditipu daya. Umat tidak tahu mencipta, tetapi membuang masa berebut kekuasaan politik, atas alasan Islam perlu ditegakkan dengan kuasa. Bila ditekan dengan kenaikan harga minyak, umat Islam marah dan menyalahkan pemimpin sendiri kerana tidak merasai yang mengizinkan harga minyak itu naik adalah Allah. Umat Islam sekarang mudah hilang sabar walhal sabar itu sebahagian daripada iman.
Bila kita nampak kepincangan umat Islam sekarang kerana budaya malas berfikir sehingga beragama secara menurut sahaja tanpa melahirkan generasi ulul albab, kita perlu sama-sama mencari jawapan agar umat tidak terus dalam keadaan lemah sebegini. Kita tidak boleh terus bergantung kepada teknologi orang lain akibat tidak tahu mencipta, sebaliknya dengan melahirkan generasi yang suka mengkaji dan meneroka, kita boleh membina kekuatan ekonomi sendiri. Apatah lagi bilangan umat Islam adalah ramai, sepatutnya kita boleh menjadi kuasa pengimbang bagi dunia supaya US tidak memonopoli dunia. Untuk menjadi pengimbang kepada US, kita perlu menjadi generasi yang banyak idea macam mereka juga, bukannya generasi otak yang lembab seperti binatang ternak.
Mungkin kita tidak sedar yang sebenarnya kita telah jauh dari menyembah Allah dengan sebenar-benar sembahan walaupun selama ini kita mengaku Islam. Jika manusia itu hidup dengan bergantung kepada orang lain dan beragama secara ikut-ikutan tanpa berfikir dengan rasional, itulah tanda manusia itu bertuhankan selain daripada Allah. Bila manusia itu bertuhankan selain Allah, maka pegangannya jadi rapuh dan lemah. Kerana itu kini umat Islam jadi lemah. Tetapi jika kembali berpegang kepada Allah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Perkasa, sudah pasti kita jadi umat yang bijak dan banyak idea sehingga mampu mencipta pelbagai teknologi seterusnya umat Islam akan dilihat perkasa di mata dunia. Ketika itu tidaklah umat Islam diperkulikan di bumi sendiri.
Seperti sunnah yang berlaku terdahulu, bila tahap mentalitinya sesuatu bangsa itu setaraf binatang ternak sehingga hidup mereka lalai dan berpecah-belah, pasti Allah akan bangkitkan pemberi peringatan dari kalangan bangsa itu sendiri supaya mereka tidak beralasan lagi bahawa mereka tidak pernah mendengar khabar seperti ini.
Oleh itu sebelum terlewat, marilah kita kembali membangunkan generasi ulul albab yang suka mengkaji alam untuk mengenal Kekuasaan Tuhan, bukannya generasi materialistik yang mengejar kemewahan dunia untuk hidup secara lalai, malas berfikir dan bermain-main di atas muka bumi pinjaman Allah ini.
Manusia yang berfikir panjang dan secara rasional akan diberikan nikmat hidup yang tenang dan bermakna. Oleh kerana suka berfikir, ilham-ilham yang disampaikan oleh Allah digunakan untuk mencipta hidup yang indah, tenang dan damai sementara nyawa dikandung badan. Orang yang suka berfikir dan berhati tenang akan dilambatkan penuaan wajahnya kerana rasa kepuasan berfikir dan merealisasikan idea-idea yang difikirkan.
Kita semua ada akal untuk berfikir mengikut keutamaan masing-masing. Sebagai rakyat, apakah keutamaan kita? Adakah hidup kita dengan mencaci-maki pemimpin sendiri seolah-olah kita ini hebat memimpin? Sebagai pemimpin pula, mereka pun ada keutamaan yang perlu dilakukan sesuai dengan amanah yang diberikan. Bila setiap individu itu sedar keutamaan diri masing-masing dan berusaha membangunkan diri dengan mencari segala kelemahan diri untuk diperbaiki tanpa menunggu orang lain mengubah untuk kita, suatu masa nanti pasti kita mampu bangkit menjadi umat Islam yang cemerlang.
Namun, jika kita terus hidup dengan lalai dan berpaling dari peringatan supaya kembali membangunkan minda, tidak mustahil azab Allah seperti tsunami 4 tahun dahulu akan menimpa kita setelah orang Melayu mula bergaduh dan berpecah-belah kerana berebut kuasa. Mungkin kerana atas rasa bangga diri kita hidup sebagai orang Islam, kita tidak percaya yang azab Allah ini amat dekat dengan kita sebab kita fikir US dan sekutu-sekutunya itu patut diazab, padahal mereka di sisi Allah dimuliakan kerana mereka memuliakan otak mereka sendiri. Malangnya kita umat Islam sudah malas mengkaji Al Quran dengan alasan otak manusia ini terbatas. Itulah bisikan syaitan yang telah melemahkan daya pemikiran umat Islam sehingga hidup hanya menurut dan taksub sahaja.
.jpg)
No comments:
Post a Comment