Tuesday, September 30, 2008

Pulau Redang, Terengganu, MALAYSIA

Pengenalan

Pulau Redang terletak di luar pantai Negeri Terengganu. Ia adalah antara pulau-pulau yang mempunyai pantai tercantik di dunia. Pelbagai hidupan laut yang biasa dan luar biasa dapat dilihat di sini. Taman Laut (Marine Park) nya menjadi kunjungan pelancong seluruh dunia. Sayang sekali kalau orang tempatan tidak menikmati kelebihan tempat sendiri. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 45 minit dengan bot laju dari jeti pantai Merang. Pantai Merang terletak lebih kurang 40 km ke utara Kuala Terengganu menyusuri jalan pantai.

Seperti Langkawi di Kedah, Pulau Redang adalah gugusan pulau-pulau kecil dan besar. Salah satu pulau ini ialah Taman Laut (Marine Park) yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia.

Aktiviti

Snorkeling sangat popular di sini. Pantainya yang landai dan cetek. Pasirnya putih bersih. Airnya jerneh. Anda tidak perlu pergi jauh untuk melihat hidupan laut beraneka jenis, bentuk dan warna. Ikan-ikan ini sangat jinak seperti dipelihara. Mereka akan menghampiri anda hanya dengan beberapa menabur cebisan roti dan biskut di permukaan air. Anda tidak perlu pandai berenang untuk aktiviti snorkeling kerana ianya berlaku di tepi pantai di dalam sempadan yang dilingkungi oleh rantaian pelampung. Tanda sempadan ini diletakkan oleh Jabatan Laut untuk melindungi snorkelers dari dilanggar bot yang berulang-alik dari pulau ke pulau ataupun skuter air atau ski air. Kesimpulannya snorkeling ialah aktiviti yang paling selamat, mudah dan sesuai untuk semua golongan umur. Peralatan snorkeling disediakan oleh tour operator dan selalunya termasuk dalam pakej pelancongan.

Satu lagi aktiviti popular di sini ialah selaman skuba (scuba diving).

Jika snorkeling tidak perlu pengalaman dan sesuai untuk kanak-kanak, scuba diving hanyalah untuk mereka yang terlatih. Peralatan termasuklah pakaian khas, balang gas oksigen, bot dan pemandu yang mesti disewa. Kemudahan sewaan peralatan ini terdapat di Taman Laut dan juga resort-resort lain. Aktiviti ini popular di kalangan pelancong luar negara.

Sukan air lain seperti ski air, skuter air disediakan oleh resort-resort yang beroperasi di kepulauan Redang. Sukan air bermotor tidak dibenarkan di Taman Laut dikhuatiri merosakkan hidupan laut seperti ikan-ikan exotik dan terumbu karang. Gelanggang bola tampar pantai boleh dilihat di sepanjang pantai di mana ada resort.

Perkhemahan berkumpulan juga dianjurkan tetapi semakin berkurangan sekarang. Rujuk kepada tour operator anda.

Taman Laut ialah kawasan terpelihara. Pelancong dilarang membawa keluar semua jenis hidupan laut dari kawasan ini. Pada hari saya ke sini sebuat bot TLDM lengkap bersenjata kelihatan membuat rondaan mengawal keselamatan kepulauan Redang. Selain ancaman lanun, terdapat juga bot-bot menangkap ikan haram di sekitar kawasan ini. Kita mengucapkan syabas kepada tentera laut kita!

Tiada bayaran dikenakan untuk memasuki Taman Laut. Saya rasa ianya sebahagian dari tambang bot.

Suasana lengang di jeti pendaratan bot di Taman Laut (Marine Park) melewati waktu tengahari. Pelancong membanjiri kawasan jeti ini untuk snorkeling di awal pagi. Pengusaha bot pelancong selalunya bertolak awal ke Redang dan pulang pun awal ke tanah besar (jeti Merang) untuk mengelakkan ribut dan ombak besar di waktu lewat petang. .

Snorkeling di tepi pantai. Pastikan anda dan anak anda memakai jaket keselamatan.

Kebersihan tanggongjawab setiap orang! Tong sampah seperti ini adalah pandangan biasa di Taman Laut.

DI resort inilah kami singgah sekejap untuk makan tengahari. Perjalanan dari pulau ke pulau menggunakan bot yang sama dari jeti Merang ke Taman Laut. Resort seperti ini menyediakan kemudahan selaman skuba.

Island for sale, anyone? Salah sebuah tanjung di Redang.

Kejernehan air laut seumpama di kolam renang. Pantai yang cetek sesuai utk kanak-kanak bersnorkeling.

Sebuah bot TLDM bersenjata lengkap mengawasi perairan Redang.

Bot laju ini mengambil masa lebih kurang 45 minit ke Pulau Redang dari jeti Pantai Merang, bergantung kepada keadaan cuaca. Tambang 2-hala RM50-RM60.

Mahal ke nak pi Pulau Redang?

Tambang bot pergi-balik (Jeti Merang – Pulau Redang – Jeti Merang) lebih kurang RM50-RM60.

Pakej bernilai RM150 seorang (minima 15-20 orang) boleh dirunding di luar musim puncak (peak season). Pakej ini termasuk tambang bot pergi-balik, makan tengahari, lawatan ke Taman Laut dan beberapa pantai menarik.

Tambang teksi dari Lapangan Terbang Kuala Terengganu ke Jeti Merang lebih kurang RM60 sehala.

Tambang untuk satu teksi dari stesen teksi bas di tengah-tengah Bandar Kuala Terengganu ke Jeti Merang lebih kurang RM35.

Tambang bas --- tidak diketahui!

Macam mana nak pi sana?

Ada beberapa kaedah pengangkutan hendak ke Pulau Redang.

Kapalterbang:

Malaysia Airlines dan Air Asia mempunyai penerbangan terus dari KLIA ke Kuala Terengganu. Dari KT anda boleh menaiki teksi ke Jeti Pantai Merang.

Memandu:

Jika anda dari Kuantan, Pahang, anda akan melintasi Bandar Kuala Terengganu terlebih dahulu. Ikut tanda arah ke Kota Bharu. Selepas menyeberangi jambatan Sultan Mahmud yang merintasi Sungai Terengganu, anda akan sampai ke sebuah bulatan (lebih dikenali sbg bulatan Batu 6). Ikut arah ke Batu Rakit dan Penarik. Jarak dari KT ke jeti Pantai Merang lebih kurang 40 km.

Jika anda dari Kota Bharu, Kelantan, belok ke kiri di Bandar Permaisuri. Ikut tanda arah ke jeti Pulau Redang (jangan keliru dengan jeti ke Pulau Perhentian yang terletak di Kuala Besut!)

Nota: Jika memandu ikut had laju yang ditetapkan. Jangan jadi sebahagian drp statistik kemalangan jalanraya.

Sampai di jeti Merang, anda kena naik bot ke Pulau Redang. Bot laju mengambil masa 45 minit. Kebanyakan bot bertolak pergi awal pagi dan bali awal tengahari kerana selalunya laut bergelora di waktu petang. Jeti Merang tidak mempunyai banyak kemudahan dan sangat sibuk di musim cuti (umum atau sekolah). Jika anda memandu sampai ke jeti, kereta boleh disimpan di sini sehingga beberapa lama dengan sedikit bayaran (macam Kuala Kedah atau Kuala Perlis untuk ke Langkawi). Ada kawasan berpagar dan pengawal keselamatan. Bayaran mengikut hari dan kereta. Saya tak pasti berapa RM.

Nak dok mana?

Bila sebut Redang, orang akan merujuk kepada Taman Laut atau Marine Park. Tiada tempat-tempat menarik lain di sekitar Redang jika anda bukan penggemar sukan air. Selalunya lawatan ke Redang adalah lawatan hari (day trip). Pelancong akan datang pagi dan balik pada waktu petang dan kebanyakan pakej begitulah. Jika anda ingin tinggal lebih lama, banyak resort dari chalet hinggalah ke hotel 5 bintang. Antaranya Laguna Redang Resort dan Berjaya Redang Resort. Berjaya Redang Resort mempunyai lapangan terbang sendiri untuk penerbangan terus dari KLIA. Jika anda suka, anda juga boleh menginap di tanah besar di sekitar Kuala Terengganu, Batu Rakit dan Merang. Banyak tempat penginapan di sini seperti International Park Inn, Hotel Grand Continental, Hotel Seri Malaysia (semuanya di KT) dan Gem Beach Resort (di Batu Rakit). Sutera Beach Resort terletak di Merang. Rujuk laman web hotel-hotel berkenaan untuk kadar dan kemudahan.

Sebuah resort 4-bintang atau lebih di Pulau Redang – “Laguna Beach Resort”

Lain-lain pasal Redang

Sedikit sejarah.

Dari segi sejarah, Taman Laut ini berpenghuni tetapi disebabkan pembangunan industri pelancongan yang pesat, penduduk asal pulau ini telah dipindahkan di satu tempat khas siap dengan kemudahan bermasyarakat. Tapak kawasan perkuburan lama di Taman Laut dapat dilihat dengan jelas. Seorang pemandu pelancong tempatan memberitahu saya kuburan ini tidak lagi digunakan sekarang. Penduduk-penduduk tempatan yang telah dipindahkan ke pulau berhampiran akan menziarahi perkuburan di Taman Laut ini pada hari-hari kebesaran Islam seperti Hari Raya Aidil Fitri dan Raya Haji.

No comments: